Tuesday, August 5, 2014

VCO liquid baik untuk urutan bayi

Memetik artikel dari kosmo! Saya tertarik dengan tulisan wartawan Noor Hasliza Nusi tentang urutan bayi. Bukannya apa...baru-baru ini kami dapat cucu baru. Kalau dulu saya gunakan minyak olive oil...tapi  apabila sekarang dah ada minyak kelapa dara atau VCO Catalyst ni, saya memang sarankan anak saudara saya gunakan VCO untuk mengurut bayi.


Jom kami kongsi artikel tersebut di sini 

SENTUHAN manja jari-jemari ke seluruh tubuh membuatkan si kecil seolah-olah mengerti apa yang berlaku. Walaupun tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata, kerlipan mata dan tangisan mengiakan semua itu.

Benar, sentuhan ibu penuh keajaiban. Selain menyusukan bayi, usapan lembut tangan wanita itu memberi kesan mendalam dari segi emosi dan komunikasi ibu dan anak.

Senarionya, urutan tradisional sememangnya telah lama diamalkan oleh masyarakat hari ini khususnya golongan dewasa. Kesan positifnya pada kesihatan pengamalnya sememangnya diakui.

Kini, urutan ke atas kanak-kanak juga sudah mula diterima. Urutan merupakan terapi semula jadi yang seharusnya dijadikan rutin harian para ibu dalam membesarkan anak-anak.

Ia membantu mereka menjadi lebih sihat selain memberi kebaikan dari segi perkembangan fizikal dan mental.

Meskipun kebaikan urutan bayi telah diketahui sejak dahulu lagi oleh ramai komuniti, tetapi dokumentasi berkaitan urutan bayi terutama kesan psikologinya cuma dikemukakan oleh seorang pakar psikologi, Ruth Rice pada tahun 1975.

Sebelum ini, beberapa jururawat Hospital Bellevue di Amerika Syarikat telah berjaya mengurangkan kadar kematian bayi daripada 30 peratus hingga 10 peratus hanya dengan belaian dan sentuhan.



BAYI kadang-kadang menangis sebagai respons terhadap urutan.

Di Malaysia, kaji selidik yang dilakukan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada tahun 2002 mendapati urutan memberi kesan terhadap peningkatan berat badan bayi terbabit.

Manakala kajian yang lebih komprehensif dilakukan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Sentuhan dari Sekolah Perubatan Universiti Miami, AS, Dr. Tiffany Field pada tahun 1997.

Beliau berjaya mengenal pasti bahawa terapi sentuhan boleh membantu bayi yang lahir tidak cukup bulan meningkatkan berat badan mereka dengan lebih cepat.


TERAPI sentuhan merupakan ekspresi kasih sayang yang begitu menakjubkan oleh ibu terhadap bayinya.

Beliau juga mendapati urutan ke atas kanak-kanak yang menghidap penyakit asma mengembalikan pernafasan yang baik. Kanak-kanak diabetes pula memberi respons yang berkesan terhadap rawatan tersebut, selain dapat tidur lebih lena.

Menurut pakar pediatrik, Datuk Zulkifli Ismail, bagi bayi yang lahir cukup bulan pula, urutan bukan sahaja membolehkan mereka mengurangkan tekanan dan membantu mereka bertenang, bahkan turut menyediakan beberapa pemulihan yang lain.

"Proses urutan dikatakan dapat meningkatkan fleksibiliti, membina dan mempercepatkan proses pembinaan tulang yang sihat serta membantu memperkuatkan daya ketahanan badan untuk melawan penyakit.

"Selain daripada tanda-tanda fizikal yang jelas seperti kulit bayi yang lembut dan rambutnya yang lebat, terapi sentuhan juga merupakan ekspresi kasih sayang yang begitu menakjubkan oleh ibu terhadap bayinya," ujar bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia ini lagi.

Menurut beliau, urutan bayi seelok-eloknya bermula sebaik saja bayi dilahirkan. Cara urutan dilakukan pula, jelasnya, terpulang kepada keselesaan bayi tersebut.

Para ibu boleh melakukannya sama ada dari pergelangan tangan dahulu mahupun badan si bayi, sehinggalah ke kakinya. Dan terpulang kepada si ibu untuk menggunakan minyak bayi ataupun tidak.

Apakah perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap ibu dalam melakukan urutan? Kata Zulkifli, ia seharusnya dilakukan dengan kerjasama sepenuhnya daripada bayi tersebut.

"Mengurut bayi merupakan satu aktiviti terapeutik, iaitu berkenaan dengan seni pemulihan atau menyembuhkan penyakit. Ia boleh dilakukan melalui perasaan sayang di samping mewujudkan suasana bergurau senda.

"Ingat, anda bagaikan satu cermin pada bayi anda. Dia akan mengikut tingkah laku anda, jadi pastikan anda bersedia dan berada dalam suasana tenang sebelum memulakan urutan.

"Kadang-kadang, bayi mungkin akan berasa letih, maka tiada urutan diperlukan. Dia mungkin ingin berehat.

"Jadi, cubalah mengurut bayi anda selepas bangun daripada tidur," kata Dr. Zulkifli 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mungkin ada di antara kita yang belum atau tidak tau cara untuk mengurut bayi anda. Mungkin ada kelapangan kami akan kongsi bersama anda.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...